Home » » 118 terkorban letupan bom di Nigeria

118 terkorban letupan bom di Nigeria


JOS 21 Mei - Sebanyak 118 orang terkorban, manakala 45 yang lain cedera dalam letupan bom berturut-turut di kawasan yang sesak di tengah bandar ini, di sini semalam yang dipercayai dilakukan kumpulan militan Boko Haram.

Bagaimanapun kumpulan Boko Haram yang menjalankan kempen keganasan di utara dan tengah Nigeria untuk menubuhkan sebuah negara Islam, menafikan bertanggungjawab atas kejadian itu.

Ia merupakan serangan tunggal paling besar sepanjang tempoh lima tahun pergolakan di Nigeria.

Bulan lalu, militan Boko Haram menjadi tumpuan dunia berikutan kes penculikan 200 pelajar perempuan di sebuah kampung Chibok, di timur laut negara ini.

Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis telah berjanji untuk membantu menyelamatkan pelajar-pelajar itu.

Dalam serangan semalam, seorang wartawan Reuters menyaksikan 10 mayat rentung di kawasan bertentangan hospital di Terminus, pusat bandar Jos yang menempatkan beberapa buah kedai, pejabat dan pasar.

"Kami menemukan 118 mayat daripada runtuhan bangunan," kata penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan, Mohammed Abdulsalam.

"Jumlah korban dijangka bertambah kerana masih terdapat runtuhan bangunan yang berlaku kesan daripada letupan tersebut," katanya.

Pesuruhjaya Polis negeri Palteau, Chris Olakpe, pada awalnya mengesahkan jumlah kematian hanya seramai 46 orang, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera.

"Letupan pertama berlaku pada pukul 3 petang, manakala letupan kedua berlaku pada pukul 3.30 petang ketika orang ramai berkumpul untuk membantu mangsa letupan pertama," ujarnya.

Taktik letupan berturut-turut itu dilakukan bertujuan memaksimumkan jumlah korban, taktik yang turut digunakan oleh kumpulan militan di Iraq.

Bandar Jos relatifnya, bebas daripada serangan Boko Haram.

Kumpulan itu mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan bom di sebuah gereja di tanah tinggi dan dua lagi tempat lain ketika sambutan Krismas pada 2011. - REUTERS


0 comments:

Post a Comment