Home » » Riyadh digesa dedah dalang bunuh wartawan

Riyadh digesa dedah dalang bunuh wartawan


ISTANBUL – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta Arab Saudi mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan wartawan, Jamal Khashoggi di samping lokasi mayatnya dibuang.

Menurut Erdogan, Turki mempunyai lebih banyak maklumat kes tersebut berbanding butiran yang dikongsi oleh Ankara.

Beliau turut berkata, Riyadh perlu mendedahkan identiti ‘konco tempatan’ yang dikatakan oleh pegawai-pegawai Arab Saudi sebelum ini, bertanggungjawab membuang mayat Jamal selepas kolumnis akhbar Washington Post itu dibunuh di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

“Siapa yang memberikan arahan?” kata Erdogan dalam satu ucapan kepada ahli-ahli parti pemerintah, Parti AK di Ankara.

“Siapa pula yang memberikan arahan supaya 15 orang datang ke Turki?” tambahnya, merujuk kepada 15 ejen Arab Saudi yang dikatakan oleh Turki berlepas ke Istanbul beberapa jam sebelum pembunuhan itu berlaku.

Menurutnya lagi, pendakwa raya awam Arab Saudi dijadualkan menemui pendakwa raya Istanbul di kota raya Istanbul esok.

Sementara itu di New York, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan Jamal menjadi mangsa ‘hukuman mati di luar undang-undang’ oleh kerajaan Arab Saudi.

“Malah, Arab Saudi sendiri mengaku bahawa jenayah itu telah dirancang dan membabitkan pegawai-pegawai kerajaan,” kata Pelapor Khas PBB mengenai Pembunuhan di Luar Undang-Undang, Rumusan atau Arbitrari, Agnes Callamard pada satu sidang akhbar di New York.

“Sama ada mereka bertindak mengikut arahan kerajaan, perkara itu harus dibincangkan dan disiasat,” jelasnya.

Bagaimanapun, tambah Callamard, mereka yang terlibat, pihak yang mengarahkannya dan dalang yang merancang pembunuhan tersebut mempunyai jawatan yang cukup tinggi untuk mewakili Arab Saudi.

– AFP/Reuters

0 comments:

Post a comment