Home » » Budak curi naik di ruang tayar pesawat

Budak curi naik di ruang tayar pesawat


Honolulu: Seorang budak lelaki berusia 16 tahun mencuri naik di ruang tayar sebuah pesawat dalam penerbangan dari California ke Hawaii, dan selamat sepanjang penerbangan itu yang merentasi sebahagian Lautan Pasifik meskipun berdepan cuaca dingin pada paras ketinggian 11,500 meter dan kurang oksigen, kata pegawai Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan pegawai syarikat penerbangan.

Jurucakap FBI, Tom Simon di Honolulu berkata budak itu disoal selepas ditemui di landasan lapangan terbang Maui tanpa sebarang identiti pengenalan diri. 

Panjat pagar

“Budak lelaki bernasib baik selamat,” kata Simon kepada Associated Press malam kelmarin.

Simon berkata paparan video daripada lapangan terbang San Jose mengesahkan budak itu memanjat pagar untuk pergi ke Penerbangan Hawaii Pesawat 45 pada pagi kelmarin. Dia melarikan diri daripada keluarga selepas perbalahan, kata Simon.

Apabila pesawat mendarat di Maui, budak itu melompat turun dari ruang tayar pesawat dan mundar-mandir di kawasan lapangan terbang, katanya.

“Dia tidak sedarkan diri hampir di sepanjang penerbangan,” kata Simon.

Penerbangan itu mengambil masa kira-kira 5 ½ jam pada suhu yang boleh mencecah -62 darjah Celsius.

Jurucakap Penerbangan Hawaii Alison Croyle berkata pegawai penerbangan mengesan budak lelaki di litar landasan lapangan terbang selepas pesawat tiba dan segera memaklumkan kepada pihak lapangan terbang.

“Yang utama bagi kami sekarang ialah keadaan budak lelaki itu, yang bernasib baik selamat,” kata Croyle.

Simon berkata budak lelaki itu menjalani rawatan perubatan dan tidak dalam keadaan berbahaya. Dia tidak akan didakwa dan akan dirujuk kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak. - AP


http://duniakinionline.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment