Home » » Draf undang-undang Bangsamoro ditandatangani

Draf undang-undang Bangsamoro ditandatangani


MANILA 20 April - Draf undang-undang Bangsamoro ditandatangani hari ini di ibu pejabat Suruhanjaya Peralihan Bangsamoro (BTC) di Cotabato City.

Akhbar tempatan, Manila Bulletin melaporkan, perkembangan tersebut sekali gus melenyapkan kebimbangan yang menuduh panel rundingan damai kerajaan mengarahkan anggota BTC agar tidak menandatangani draf Undang-Undang Asas Bangsamoro yang disemak oleh Presiden Benigno Aquino III pada 14 April lalu.

Pengerusi panel tersebut, Profesor Miriam Coronel-Ferrer menjelaskan bahawa Pejabat Penasihat Presiden untuk Proses Perdamaian (OPAPP) tidak mengadakan sebarang pertemuan sulit dengan anggota BTC yang ditugaskan merangka draf undang-undang berkenaan.

"Laporan dalam laman sosial yang mendakwa tiga pesuruhjaya BTC tidak menandatangani draf BLL atas arahan OPAPP adalah tidak benar.

"Kami telah bertemu de­ngan wakil BTC dan mereka mahu berbincang tentang berita palsu tersebut.

"Wakil MILF juga bertemu dengan Suruhanjaya Pusat MLF bagi menjelaskan keadaan sebenar," katanya.

BTC mempunyai 15 wakil, terdiri daripada tujuh anggota yang dipilih oleh kerajaan Filipina dan lapan lagi oleh Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) termasuk Pengerusi BTC, Mohagher Iqbal.
Iqbal turut bertugas sebagai ketua perunding MILF yang menandatangani perjanjian damai dengan kerajaan pada 27 Mac lalu.

Ferrer turut menjelaskan bahawa draf BBL yang akan mewujudkan entiti Bangsamoro bagi menggantikan Wilayah Autonomi di Mindanao, masih belum siap sepenuhnya dan pertemuan akan diadakan hari ini.

"Kami percaya mereka (BTC) akan melakukan yang terbaik bagi menjayakan proses damai itu.
"Kami memohon kerjasama orang ramai agar membetulkan kesilapan tentang maklumat berhubung proses menandatangani draf berkenaan," katanya.

EDITOR


0 comments:

Post a Comment