Kemenangan paling memalukan sejarah Mesir


KAHERAH - MESIR. Bekas ketua tentera, Abdel Fattah al-Sisi dilaporkan meraih majoriti besar dalam Pilihan Raya Presiden Mesir selepas kiraan di 312 pusat mengundi daripada 352 pusat, selesai dijalankan semalam.

Media tempatan melaporkan, sekurang-kurangnya 21 juta pengundi atau 96.2 peratus memilih bekas panglima tentera yang menyingkirkan Presiden Mohammed Mursi daripada Ikhwanul Muslimin, Julai lalu.

Pencabarnya, Hamdeen Sabbahi berhaluan kiri, menerima 3.8 peratus daripada undi yang dikira setakat ini.

Jurucakap penyokong Hamdeen berkata, kerajaan sementara banyak melakukan pembohongan apabila melanggar Perlembagaan dengan melanjutkan tempoh pengundian sehari selepas jumlah pengundi didapati kurang daripada 40 peratus.

“Kami mengecam kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya. Tempoh melanjutkan hari mengundi sengaja dibuat bagi mengelakkan Al-Sisi mendapat malu,” katanya.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya menyasarkan sekurang-kurangnya 47 peratus pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab itu namun sehingga Selasa hanya 38 peratus berbuat demikian.

Selepas angka keluar mengundi didapati amat sedikit, pihak mereka dikatakan melanjutkan tempoh mengundi sehari lagi, laporan dipetik dari Al Arabiya.


Pertempuran kian sengit, puluhan pemisah Ukraine maut


DONETSK, Ukraine: Berpuluh mayat penentang bergelimpangan dalam sebuah van di luar sebuah rumah mayat dan kumpulan pemisah itu menyatakan lebih banyak mayat akan dibawa ke sana.

Bangkai sebuah trak yang rosak teruk dan dibasahi darah di lapangan terbang Donetsk menunjukkan keadaan ngeri selepas pertempuran.

Perlembagaan Thailand digantung selepas rampasan


BANGKOK 23 Mei - Pemimpin tentera Thailand menyatakan hari ini bahawa perlembagaan negara digantung, selepas rampasan kuasa dilakukan.

Mereka menyatakan, ia dilakukan bagi menamatkan persengketaan politik yang berlangsung beberapa bulan lalu.

"Dalam usaha untuk mentadbir negara ini dengan lancar, pemimpin tentera telah menggantung perlembagaan 2007, kecuali bab di bawah pentadbiran Diraja," kata satu kenyataan yang keluarkan dalam televisyen tempatan. - AFP

Tentera Thailand arah gantung program televisyen


Tentera Thailand hari ini mengarahkan kesemua stesen televisyen dan radio untuk menggantung program-program biasa mereka dan memaparkan siaran tentera sahaja ekoran rampasan kuasa yang berlangsung.

Tindakan itu dilakukan bagi memastikan berita yang tepat disiarkan kepada orang ramai, kata seorang jurucakap tentera di dalam satu pengumuman di televisyen.

Ketua Tentera Thailand, Prayut Chan-O-Cha melakukan satu rampasan kuasa tentera semalam, menggulingkan kerajaan yang dipilih dan meletakkan negara ke dalam keadaan yang tidak menentu selepas beberapa bulan persengketaan politik buntu. - Agensi




118 terkorban letupan bom di Nigeria


JOS 21 Mei - Sebanyak 118 orang terkorban, manakala 45 yang lain cedera dalam letupan bom berturut-turut di kawasan yang sesak di tengah bandar ini, di sini semalam yang dipercayai dilakukan kumpulan militan Boko Haram.

Bagaimanapun kumpulan Boko Haram yang menjalankan kempen keganasan di utara dan tengah Nigeria untuk menubuhkan sebuah negara Islam, menafikan bertanggungjawab atas kejadian itu.

Ia merupakan serangan tunggal paling besar sepanjang tempoh lima tahun pergolakan di Nigeria.

Bulan lalu, militan Boko Haram menjadi tumpuan dunia berikutan kes penculikan 200 pelajar perempuan di sebuah kampung Chibok, di timur laut negara ini.

Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Perancis telah berjanji untuk membantu menyelamatkan pelajar-pelajar itu.

Dalam serangan semalam, seorang wartawan Reuters menyaksikan 10 mayat rentung di kawasan bertentangan hospital di Terminus, pusat bandar Jos yang menempatkan beberapa buah kedai, pejabat dan pasar.

"Kami menemukan 118 mayat daripada runtuhan bangunan," kata penyelaras Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan, Mohammed Abdulsalam.

"Jumlah korban dijangka bertambah kerana masih terdapat runtuhan bangunan yang berlaku kesan daripada letupan tersebut," katanya.

Pesuruhjaya Polis negeri Palteau, Chris Olakpe, pada awalnya mengesahkan jumlah kematian hanya seramai 46 orang, manakala berpuluh-puluh yang lain cedera.

"Letupan pertama berlaku pada pukul 3 petang, manakala letupan kedua berlaku pada pukul 3.30 petang ketika orang ramai berkumpul untuk membantu mangsa letupan pertama," ujarnya.

Taktik letupan berturut-turut itu dilakukan bertujuan memaksimumkan jumlah korban, taktik yang turut digunakan oleh kumpulan militan di Iraq.

Bandar Jos relatifnya, bebas daripada serangan Boko Haram.

Kumpulan itu mendakwa bertanggungjawab melakukan serangan bom di sebuah gereja di tanah tinggi dan dua lagi tempat lain ketika sambutan Krismas pada 2011. - REUTERS


39 penduduk etnik Uighur dijatuhi hukuman penjara


BEIJING 21 Mei - Sebuah mahkamah di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara ke atas 39 orang etnik Islam Uighur kerana didapati bersalah menyebarkan kononnnya 'video pengganas' ketika Beijing mengetatkan kawalan keselamatan ekoran beberapa serangan maut, sejak kebelakangan ini.

Agensi berita tempatan, China News Servise (CNS) melaporkan, kesemua mereka dijatuhi hukuman penjara selama 15 tahun kerana menganjurkan, mengetuai dan menyertai organisasi pengganas. Sedangkan etnik Islam Uighur antara yang memperjuangkan kebebasan autonomi.

Sejak kebelakangan ini, kerap berlaku serangan ganas di wilayah Xinjiang dan Beijing menyalahkan kumpulan pengganas itu kerana melancarkan pembrontakan bagi menuntut kemerdekaan di wilayah itu.

Pengkritik berkata, ancaman keselamatan di Xinjiang sengaja diperbesar-besarkan oleh Beijing untuk menghalalkan tindakan kekerasan ke atas etnik itu.

Sebaliknya, etnik itu menyalahkan keadaan ketidakadilan daripada segi peluang ekonomi dan tekanan kerajaan ke atas agama dan budaya etnik Uighur sebagai punca tercetus kekacauan di wilayah tersebut.

"Kesemua yang ditahan disyaki terlibat menyebarkan video keganasan pengganas," lapor CNS.
Sebahagian daripada suspek itu didapati bersalah "menghasut kebencian etnik, diskriminasi etnik,' manakala yang lain terlibat membuat senjata api secara haram.

Menurut laporan itu, terdapat enam mahkamah membicarakan kes itu termasuk sebuah di barat negeri Aksu yang menyaksikan beberapa serangan keganasan berlaku di negeri itu beberapa tahun lalu.

Awal bulan lalu, media tempatan melaporkan lebih 200 orang dikenakan tindakan kerana terlibat dalam video pengganas.

April lalu, penyerang bersenjatakan pisau dan bahan letupan melakukan serangan di sebuah stesen kereta api di Urumqi menyebabkan seorang terkorban, manakala 79 yang lain cedera ketika Presiden China, Xi Jinping membuat lawatan di wilayah bergolak itu. - AFP


Mengenali Kumpulan Boko Haram


Boko Haram, sebuah kelompok digelar pengganas oleh kerajaan Nigeria dan US. Baru-baru ini kumpulan ini telah menculik lebih dari 200 pelajar perempuan di Nigeria. Mereka juga melakukan serangan kepada kumpulan gereja pada hari Natal.

Boko Haram, sebuah dilabelkan kelompok radikal Islam di Nigeria, didirikan pada 2002 di Maiduguri, ibukota negera bagian Borno, yang diproklamirkan oleh seorang ustaz Mohammed Yusuf, dalam usia 30-an yang memiliki kekayaan pribadi yang memadai untuk pembiayaan gerakan ini.

Penduduk tempatan rata-ratanya tidak memberikan maklumat yang 'detail' mengenai aktiviti kumpulan ini kerana bimbang kepada tekanan yang akan dialami.

Boko Haram tidak memiliki strategi dan kelengkapan yang baik untuk merekrut para anggotanya, yang terdiri dari bekas pengajar di universiti serta mahasiswanya yang telah keluar untuk mengikuti kumpulan ini. Walaupun begitu ada juga penduduk yang tidak mendapat pendidikan menanggotainya. Ada sebahagian juga ahli daripada negera jiran seperti Chad.

Para anggotanya solat di masjid yang terpisah dan tidak bercampur dengan masyarakat tempatan. Mereka memelihara janggut panjang dan memakai kopiah hitam atau merah.

Kumpulan ini menuntut penerapan hukum syariah di 36 negara bagian di negara Nigeria.

Pada 2004, mereka pindah ke to Kanamma di negeri bagian Yobe, dekat dengan perbatasan Niger, dimana mereka mendirikan sebuah tapak untuk menyerang balai polis yang terdekat.

Kerusuhan kecil terjadi di Bauchi yang dikaitkan dengan kelompok ini pada 2004, tetapi tidak terdengar lagi setelah peristiwa tersebut.

Kumpulan ini menjadi perbualan hangat sekitar tahun 2009 setelah serangan yang dilakukan kepada balai polis dan bangunan pejabat pemerintah yang menyebabkan ratusan orang mati dan dedera.

Anti Barat

Boko Haram berarti "pendidikan barat berdosa" dalam bahasa Hausa yang digunakan di bagian utara Nigeria.  Banyak orang percaya bahwa anggota kelompok ini telah di'brainwash'  dengan melihat pendidikan Barat merupakan sesuatu perkara yang jahat.

Mereka hanya berbicara dalam bahasa Arab karena percaya bahasa Inggris menyebabkan Barat menyebarkan perilaku tidak bermoral dan korapsi di seluruh dunia.

Kelompok ini juga sangat menentang peniruan segala sesuatu yang mengikuti Barat yang dikatakan unsur kritianisasi, mulai dari cara berpakaian sehingga dalam berhubungan dalam masyarakat.

Walaupun agent keamanan barat telah melakukan penyiasatan pada aktitiviti kumpulan ini, tetapi tidak mendapat  maklumat yang tepat mengenai bagaimana sumber dana mereka.

Catatan polis juga tidak menunjukkan para pemimpin kumpulan ini tersenarai dalam golongan mereka yang dikehendaki sebelum ini.

Ada yang berpendapat bahawa kumpulan Boko Haram walaupun bergerak atas nama agama tetapi sebenarnya kumpulan ini adalah kumpulan politik yang berkehendakakn kuasa.

Sumber:  (onislam.net/mukafi niam)




Hamas, Fatah capai sepakat


RAMALLAH - PALESTIN . Hamas dan Fatah bersetuju membentuk kerajaan perpaduan dalam perjanjian pembentukan Kabinet baharu, kelmarin.

Pemimpin kanan Hamas Musa Abu Marzouk berkata, Hamas dan Fatah mencapai persetujuan mengenai nama-nama menteri yang akan berkhidmat di dalam kerajaan perpaduan itu nanti.

“Perjanjian itu telah dicapai beberapa hari lalu semasa perbincangan antara Hamas dan pegawai Fatah di Genting Gaza. Kami akan umumkan nama senarai baharu itu sebelum akhir bulan ini,” katanya.

Menurutnya, di bawah perjanjian itu, Hamas dan Fatah diberi tempoh lima minggu untuk membentuk kerajaan dan mengadakan pilihan raya enam bulan kemudian.

Keputusan pembentukan kerajaan perpaduan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan Israel dan mengancam untuk melanjutkan tempoh sekatan ekonomi dan kebebasan terhadap rakyat Palestin.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memberitahu Fox News bahawa rundingan dengan Palestin akan terus gagal jika Hamas dan  Fatah membentuk Kabinet perpaduan.

Bulan lalu, perancangan untuk melakukan kerajaan perpaduan diperkuatkan dengan peningkatan penindasan dan pencabulan hak terhadap rakyat Palestin dan beberapa siri serangan rejim Zionis, dipetik dari laporan Al Ahram.




Al Sisi terdesak guna taktik kotor


KAHERAH - MESIR . Mesir sekali lagi menggunakan taktik paling kotor dalam sejarah pilihan raya apabila melanjutkan tempoh pengundian ekspatriat negara itu sehingga petang hari ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) Abdel Aziz Salman sebelum ini mengumumkan, penduduk di luar Mesir mula membuang undi pada Khamis dan mesti berakhir jam 9 malam tadi.

Namun semalam, beliau mengubah kenyataan apabila mengumumkan, tambahan sehari diberikan kepada mereka dengan alasan peratus keluar undi sangat tinggi.

“Lebih daripada 210,000 ekspatriat mengundi di pejabat kedutaan di seluruh dunia. Jumlah ini adalah dua kali ganda daripada mereka yang mengundi pada referendum Perlembagaan Januari lalu,” katanya.

Media tempatan melaporkan, tindakan itu sudah dijangka apabila PEC yang sebelum ini dikatakan sekutu kuat Abdel-Fattah Al-Sisi sanggup berbuat apa sahaja bagi memastikan lawannya, Hamdeen Sabahi tewas.

Sementara itu, episod drama pilihan raya Mesir bertambah rancak apabila Kesatuan Eropah (EU) secara tiba-tiba membatalkan hasrat menjadi pemerhati.

Jurucakap Ketua Dasar Luar EU Catherine Ashton berkata, pembatalan itu disebabkan Mesir gagal memenuhi piawaian peraturan pemerhatian.

“Mesir gagal memberi akses telekomunikasi, perubatan dan pengawal keselamatan,” katanya, dipetik dari laporan Agensi.


Jutaan rakyat boikot pilihan raya Mesir


KAHERAH - MESIR. Jutaan rakyat mula memboikot Pilihan Raya Presiden Mesir yang mula mengundi bagi ekspatriat negara itu, kelmarin.

Media melaporkan, gerakan Ikhwanul Muslimin mengesahkan, sebanyak 63 peratus daripada rakyat negara itu tidak akan keluar mengundi.

32 maut banjir buruk di Bosnia, Serbia


BELGRADE: Hujan paling lebat lebih daripada satu dekad menyebabkan banjir di seluruh Bosnia dan Serbia sehingga meragut sekurang-kurangnya 30 orang dan memaksa lebih 16,000 penduduk dipindahkan dari kawasan perkampungan yang terjejas akibat bencana alam berkenaan, kata pegawai.

"Lebih 20 mayat dibawa ke rumah mayat setakat ini," kata Datuk Bandar Doboj, Bosnia, Obren Petrovic.

Ada mangsa yang lemas ditemui di bandar Samac manakala mayat dua wanita warga emas ditemui di bandar Maglaj, semalam. Selain itu, empat mayat ditemui di Bosnia dan tiga lagi di Serbia, kelmarin.

Pihak berkuasa berkata, angka kematian mungkin meningkat. - AFP


Saintis Misi Ke Planet Marikh Meninggal Dunia


LONDON: Ahli sains British, Prof Colin Pillinger yang menjadi penggerak utama misi ke planet Marikh meninggal dunia pada Khamis ketika usia 70 tahun, demikian menurut ahli keluarganya.

Beliau yang dikenali sebagai tokoh inspirasi tanpa batasan itu mengalami pendarahan otak yang teruk pada Rabu.

"Beliau mengalami pendarahan otak yang teruk hingga mengakibatkan koma," kata keluarganya.

Colin kemudiaanya dikejarkan ke hospital berhampiran rumahnya di Cambridge, timur England pada Rabu dan meninggal dunia secara aman pada petang Khamis.


Yingluck dipecat


Keputusan Mahkamah Perlembagaan diramal cetus bantahan

Bangkok: Mahkamah Perlembagaan Thailand semalam memecat Perdana Menteri Yingluck Shinawatra selepas didapati bersalah menyalahgunakan kuasa. Keputusan itu dijangka menyaksikan gelombang baru ketidakstabilan di Thailand.

Beliau akan digantikan oleh Menteri Perdagangan Thailand, Niwatthamrong Boonsongphaisan.

“Kabinet bersetuju bahawa Niwatthamrong akan menjalankan tugas perdana menteri menggantikan Yingluck,” kata Menteri Keadilan, Pongthep Thepkanjana.

Thailand berada di bawah pentadbiran kerajaan sementara sejak Yingluck membubarkan dewan rendah parlimen Disember lalu, dalam satu percubaan membendung tunjuk perasaan anti-kerajaan.

Pilihan raya terganggu dan kemudian dibatalkan. Pilihan raya seterusnya akan diadakan pada 20 Julai. - BH


100 tahanan Palestin teruskan mogok lapar


Ramallah: Lebih 100 tahanan Palestin meneruskan mogok lapar yang sudah berlarutan selama 13 hari sebagai bantahan terhadap penahanan mereka di dalam penjara Israel.

Persatuan Tahanan Palestin (PPS), berkata 120 tahanan Palestin memulakan mogok lapar mereka pada 24 April untuk menuntut supaya dilepaskan daripada penahanan tidak sah.

PPS menambah bahawa hampir 90 tahanan yang memberontak di penjara Negev dan Ramla diletakkan dalam tahanan berseorangan. Beberapa pemberontakan turut berlaku di hospital ekoran keadaan kesihatan mereka yang semakin kritikal.

“Pihak berkuasa penjara Israel sudah mengenakan sekatan tambahan terhadap tahanan, menghalang kebanyakan daripada mereka untuk berjumpa peguam. Kebanyakan tahanan adalah warga tua yang menghidapi pelbagai masalah kesihatan,” kata persatuan itu

Sertai mogok lapar

PPS menambah bahawa lebih ramai tahanan akan menyertai mogok lapar sebagai satu tindakan terancang. Tahanan berkata tindakan mogok akan berterusan sehingga rejim Israel menghentikan penahanan mereka yang tidak sah.

Penahanan pentadbiran adalah penjara tanpa perbicaraan atau tuduhan, membolehkan rejim Israel mengurung warga Palestin sehingga enam bulan. Arahan penahanan boleh dilanjut tanpa had.
Tahanan Palestin di penjara Israel terdedah kepada salah laku hak asasi manusia seperti penyeksaan ketika soal siasat oleh pihak berkuasa penjara. Kumpulan hak asasi sering mengutuk pihak berkuasa penjara Israel kerana salah laku hak asasi berleluasa dan kematian misteri dalam tahanan.

Pada Februari, Ketua Jabatan Bancian Kementerian Tahanan Pihak Berkuasa Palestin, Abdul-Nasser Ferwana berkata, Tel Aviv menahan 4,800 tahanan Palestin dalam 17 penjara dan pusat tahanan. - AGENSI


2,100 penduduk 'ditelan' bumi


 Polis Afghanistan dan penduduk kampung memulakan usaha bahaya mencari sekurang- kurangnya 2,100 mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di wilayah pergunungan terpencil di timur laut negara itu, ketika kebimbangan kaki bukit yang tidak stabil mungkin runtuh lagi.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, sekurangkurangnya 350 maut tetapi pegawai bimbang angka mungkin meningkat mendadak kerana kampung di wilayah Badakhshan, bersempadan dengan Tajikistan, ditimbus lumpur sehingga setinggi 100 meter.

Mula pencarian

Penduduk kampung dan berpuluhpuluh anggota polis, dilengkapi dengan cuma peralatan menggali asas, memulakan pencarian sebaik hari cerah semalam.

“Penduduk dari daerah sekitar Badakhshan dan Takhar bergegas ke kawasan berkenaan untuk membantu usaha pencarian.

Setakat hari ini, tiada mayat ditemui,” kata timbalan ketua polis Badakshan, Kolonel Abdul Qadeer Sayad.

Beratus-ratus pondok musnah kelmarin apabila dua kejadian tanah runtuh, berpunca daripada hujan lebat, melanda kampung Argo.
Ada juga kebimbangan sebahagian lagi kawasan kaki gunung akan runtuh ketika penyelamat berusaha menyelamatkan mangsa yang tertimbus.


3 maut, 30 masih tertimbus lombong runtuh di Colombia


BOGOTA: Tiga disahkan terbunuh manakala lebih 30 lagi dikhuatir maut akibat tertimbus selepas satu lombong runtuh di barat Colombia, semalam.

“Kami tiba di tempat kejadian dan berupaya membawa keluar tiga mayat," kata Victor Claros, ketua pasukan bomba dan penyelamat di Negeri Cauca.

Beliau berkata, dua lagi yang dibawa keluar kini dihantar ke hospital untuk rawatan.

Claros berkata, usaha menemui mereka yang terselamat agak tipis dengan ramai lagi masih terperangkap di bawah lombong sedalam 20 meter itu.

“Ia agak mustahil untuk sesiapa hidup di kedalaman seperti itu kerana ia ditimbusi terlalu banyak batu dan lumpur," katanya.

Katanya kejadian berlaku di lombong yang terletak di pinggir Bandar Santander de Quilichao, di mana mangsa dikatakan menggali lombong tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Colombia mempunyai lebih 14,000 lombong dengan lebih separuh diusahakan tanpa permit. - AFP

Serangan bom di ibu negara Nigeria, 16 maut


ABUJA: Sekurang-kurangnya 16 maut dalam satu serangan bom kereta di pinggir ibu negara Nigeria, kelmarin, hanya beberapa minggu selepas serangan berdarah di tempat sama.

Setakat ini tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan terbaharu itu tetapi ia disyaki kumpulan ekstrimis Islam Boko Haram.

Letupan bom berlaku di terminal bas Nyanya yan sesak hanya beberapa kilometer dari Abuja kira-kira jam 8 malam waktu tempatan.

Jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMA), Manzo Ezekiel, berkata kerja menyelamat agak sukar disebabkan terminal itu tidak mempunyai lampu yang terang.

Pada 14 April lalu, serangan bom juga mensasarkan terminal bas Nyanya yang mengorbankan 75 orang. - AFP

Tunjuk perasaan, rusuhan sambut Hari Pekerja


Puluhan ribu pekerja di seluruh dunia mengadakan tunjuk perasaan semalam ketika sambutan Hari Buruh Antarabangsa, dengan suasana tegang di Turki yang mencetus kekecohan ketika protes diadakan di seluruh negara.

Keadaan tegang berlaku di Istanbul, apabila beribu-ribu penunjuk perasaan yang ingkar perintah berhimpun di Dataran Taksim dengan sebilangan besar anggota polis bertugas di jalan raya selepas tunjuk perasaan mencetuskan keganasan yang membawa kepada gerakan anti kerajaan secara besar-besaran sebelum ini.

Tunjuk perasaan juga dilaporkan di beberapa negara Asia, termasuk Hong Kong, Jakarta, Kuala Lumpur, Singapura, Taipei dan Seoul.

Sementara itu pekerja Russia akan berhimpun di Dataran Merah untuk pertama kali sejak 1991 tempat tradisi lama Soviet yang mahu dihidupkan semula ketika semangat patriotisme melanda negara itu.

Hari Pekerja adalah hari penting dalam kalendar Russia dengan sambutan besar-besaran membabitkan atlet, tentera dan pekerja yang berarak di dataran Moscow, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini demonstrasi tahunan itu diadakan di jalan-jalan raya.

Di Kemboja, pihak berkuasa tentera menggunakan belantan menyuraikan berpuluh-puluh orang yang mengadakan tunjuk perasaan Hari Pekerja berhampiran Taman Kebebasan Phnom Penh.

Taman itu yang dibuka oleh kerajaan pada 2010 sebagai tempat untuk orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati, ditutup oleh polis menggunakan kawat berduri tatkala pihak berkuasa berusaha menggagalkan protes terhadap perdana menteri Hun Sen.
“Kita kecewa kerana tidak dapat menyambut Hari Pekerja dengan cara yang sepatutnya. Hak pekerja telah dinafikan,” kata presiden Gabungan Kesatuan Demokratik Pekerja Pakaian Kemboja, Ath Thorn.

Polis Indonesia pula berkata kira-kira 33,000 pekerja mengadakan perhimpunan di Jakarta. Pihak kesatuan sekerja berkata seramai dua juta pekerja menuntut keadaan kerja yang lebih baik di negara paling penduduk di Asia Tenggara itu, walaupun pada tahun-tahun lalu bilangan yang keluar adalah lebih kecil daripada jumlah awal yang dijangkakan.

“Tunjuk perasaan akan diadakan di seluruh negara tetapi yang terbesar adalah di Jakarta dengan kira-kira 33,000 orang pekerja,” kata jurucakap polis Rikwanto kepada AFP, sambil menambah bahawa kira-kira 18,000 pegawai polis akan ditempatkan bertugas di jalan-jalan raya.

Katanya, pekerja merancang mengadakan perhimpunan seterusnya pada hari ini, membabitkan kira-kira 10,000 orang.

Di Hong Kong, penganjur berkata kira-kira 5,000 pekerja akan berarak dari Victoria Park di tengah bandar ke ibu pejabat kerajaan.

Di Taiwan pula, ribuan pekerja akan berarak ke kementerian buruh menuntut kenaikan gaji dan melarang syarikat mengambil pekerja dengan gaji rendah atau mengambil pekerja sambilan, manakala di Seoul kira-kira 5,000 pekerja berhimpun di luar stesen kereta api Seoul. - AFP