Home » » Tunjuk perasaan, rusuhan sambut Hari Pekerja

Tunjuk perasaan, rusuhan sambut Hari Pekerja


Puluhan ribu pekerja di seluruh dunia mengadakan tunjuk perasaan semalam ketika sambutan Hari Buruh Antarabangsa, dengan suasana tegang di Turki yang mencetus kekecohan ketika protes diadakan di seluruh negara.

Keadaan tegang berlaku di Istanbul, apabila beribu-ribu penunjuk perasaan yang ingkar perintah berhimpun di Dataran Taksim dengan sebilangan besar anggota polis bertugas di jalan raya selepas tunjuk perasaan mencetuskan keganasan yang membawa kepada gerakan anti kerajaan secara besar-besaran sebelum ini.

Tunjuk perasaan juga dilaporkan di beberapa negara Asia, termasuk Hong Kong, Jakarta, Kuala Lumpur, Singapura, Taipei dan Seoul.

Sementara itu pekerja Russia akan berhimpun di Dataran Merah untuk pertama kali sejak 1991 tempat tradisi lama Soviet yang mahu dihidupkan semula ketika semangat patriotisme melanda negara itu.

Hari Pekerja adalah hari penting dalam kalendar Russia dengan sambutan besar-besaran membabitkan atlet, tentera dan pekerja yang berarak di dataran Moscow, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini demonstrasi tahunan itu diadakan di jalan-jalan raya.

Di Kemboja, pihak berkuasa tentera menggunakan belantan menyuraikan berpuluh-puluh orang yang mengadakan tunjuk perasaan Hari Pekerja berhampiran Taman Kebebasan Phnom Penh.

Taman itu yang dibuka oleh kerajaan pada 2010 sebagai tempat untuk orang ramai menyuarakan rasa tidak puas hati, ditutup oleh polis menggunakan kawat berduri tatkala pihak berkuasa berusaha menggagalkan protes terhadap perdana menteri Hun Sen.
“Kita kecewa kerana tidak dapat menyambut Hari Pekerja dengan cara yang sepatutnya. Hak pekerja telah dinafikan,” kata presiden Gabungan Kesatuan Demokratik Pekerja Pakaian Kemboja, Ath Thorn.

Polis Indonesia pula berkata kira-kira 33,000 pekerja mengadakan perhimpunan di Jakarta. Pihak kesatuan sekerja berkata seramai dua juta pekerja menuntut keadaan kerja yang lebih baik di negara paling penduduk di Asia Tenggara itu, walaupun pada tahun-tahun lalu bilangan yang keluar adalah lebih kecil daripada jumlah awal yang dijangkakan.

“Tunjuk perasaan akan diadakan di seluruh negara tetapi yang terbesar adalah di Jakarta dengan kira-kira 33,000 orang pekerja,” kata jurucakap polis Rikwanto kepada AFP, sambil menambah bahawa kira-kira 18,000 pegawai polis akan ditempatkan bertugas di jalan-jalan raya.

Katanya, pekerja merancang mengadakan perhimpunan seterusnya pada hari ini, membabitkan kira-kira 10,000 orang.

Di Hong Kong, penganjur berkata kira-kira 5,000 pekerja akan berarak dari Victoria Park di tengah bandar ke ibu pejabat kerajaan.

Di Taiwan pula, ribuan pekerja akan berarak ke kementerian buruh menuntut kenaikan gaji dan melarang syarikat mengambil pekerja dengan gaji rendah atau mengambil pekerja sambilan, manakala di Seoul kira-kira 5,000 pekerja berhimpun di luar stesen kereta api Seoul. - AFP

0 comments:

Post a Comment