Home » » Lebih 200 orang dibunuh di Masjid dan 400 orang lagi cedera

Lebih 200 orang dibunuh di Masjid dan 400 orang lagi cedera


JUBA 22 April - Kumpulan pemberontak di Sudan Selatan yang menawan sebuah pekan utama pada minggu lalu, didakwa melakukan pembunuhan etnik besar-besaran, termasuk menyerang sebuah masjid yang menyaksikan lebih 200 orang dibunuh dan 400 orang lagi cedera.

Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Sudan Selatan, Toby Lanzer berkata, kejadian itu berlaku di pekan Bentiu pada minggu lalu apabila kumpulan pemberontak etnik Nuer menyerang masjid Kali-Ballee, gereja Katolik, hospital dan sebuah kemudahan Program Makanan Sedunia (WFP).

Lanzer yang mengadakan lawatan ke lokasi pembunuhan, menyifatkan kejadian tersebut sangat mengerikan kerana wanita dan kanak-kanak turut menjadi mangsa kekejaman pemberontak Nuer.

Malah, jelas beliau sejumlah besar mayat, kebanyakannya orang awam bergelimpangan di jalan, pasar serta di luar dan dalam rumah ibadat.

"Pemberontak Nuer menggeledah beberapa tempat perlindungan penduduk Sudan Selatan dan rakyat asing sebelum membunuh mereka atas sebab perbezaan etnik.

"Mereka turut menggunakan radio tempatan untuk menggesa kaum lelaki merogol wanita yang berlainan etnik dan menghalau golongan tersebut dari Bentiu," katanya.

Perbalahan etnik tercetus selepas askar yang setia kepada Presiden Salva Kiir, dari etnik Dinka cuba menghapuskan pemberontakan etnik Nuer yang diketuai oleh bekas Naib Presiden, Riek Machar selepas beliau dipecat.

Sebaik-baik menawan pekan Bentiu yang kaya dengan hasil minyak itu, jurucakap pemberontak, Lul Ruai Koang memuji tindakan kumpulannya melakukan operasi penghapusan etnik di Bentiu.

Pasukan pengaman PBB di Sudan Selatan (UNMISS) bagaimanapun berjaya menyelamatkan lebih 500 penduduk yang kebanyakannya cedera di hospital dan beberapa lokasi lain sebelum mengiringi mereka ke pangkalan PBB.

Sementara itu, jurucakap PBB di New York, Stephane Dujarric menggesa satu siasatan dijalankan berhubung laporan kejadian tersebut dan menahan pihak yang terlibat. - REUTERS


http://duniakinionline.blogspot.com

0 comments:

Post a Comment