Home » » Megawati gesa rakyat undi calon bukan kerana rupa

Megawati gesa rakyat undi calon bukan kerana rupa

JAKARTA 4 April - Menjelang saat-saat akhir kempen Pemilihan Umum (Pemilu) peringkat Parlimen yang akan berlangsung pada 9 April ini, Ketua Umum Parti Demokrasi Indonesia-Perjuangan (PDI-P), Megawati Sukarnoputeri menggesa rakyat supaya tidak hanya memberi perhatian kepada aspek fizikal dan wajah seseorang calon di kertas undi.

Sebaliknya, Megawati menyeru rakyat Indonesia supaya mementingkan trek rekod seseorang calon itu bagi mengubah nasib dan masa depan mereka.

Di hadapan ribuan penyokong PDI-P di Bali, semalam, Megawati turut membidas segelintir pengundi, khususnya kaum wanita yang hanya menilai seseorang calon itu pada wajah mereka semata-mata.

“Selepas saya kalah dalam dua Pemilu pada peringkat Presiden sebelum ini, saya bertemu dengan kaum wanita dan bertanya kenapa mereka tidak mengundi saya.

“Kata wanita-wanita itu, mereka menyokong saya tetapi lebih tertarik kepada foto calon yang tampan yang dicetak di kertas undi," kata bekas Presiden kelima Indonesia itu.

Pada Pemilu 2004 dan 2009, Megawati kalah kepada Ketua Umum Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono iaitu bekas jeneral yang sangat masyhur dalam kalangan pengundi wanita kerana disifatkan mereka memiliki wajah tampan.

Bagaimanapun, pada Pemilu tahun ini, Susilo dan Megawati tidak menyertai pertandingan kerana mengikut Perlembagaan Indonesia, Presiden Susilo tidak lagi dibenarkan bertanding bagi penggal ketiga, sementara Megawati pula memberi ruang kepada Gabenor Jakarta, Joko Widodo mewakili parti pimpinannya.

Pada masa ini, saingan sengit kepada Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi ialah Ketua Umum Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), Praboowo Subianto.

Sehubungan itu, Megawati menggesa seluruh penyokong PDI-P tidak menilai Jokowi berdasarkan aspek fizikal beliau semata-mata.

“Pada pertemuan kali pertama dengan Jokowi, saya masih ingat bagaimana kurusnya dia dan tidak memiliki fizikal yang menarik. Kemudian, saya melihat bagaimana dia bekerja (di Surakarta). Dia sangat tekun dan sering bertemu rakyat tanpa diarah. Rakyat menyukai beliau kerana merasakan dia (Jokowi) sangat rapat dengan mereka," kata Megawati.

0 comments:

Post a Comment