KIEV 4 April - Perdana Menteri Ukraine, Arseny Yatseniuk mendakwa
bekas Presiden Ukraine yang digulingkan, Viktor Yanukovich
bertanggungjawab di atas kematian berpuluh-puluh penunjuk perasaan
antikerajaan yang ditembak mati oleh polis penembak tepat pada Februari
lalu dan menggesa Rusia menyerahkan Yanukovich supaya bekas Presiden itu
didakwa di negara ini.
Yatseniuk membuat kenyataan itu selepas perkhidmatan keselamatan
Ukraine (SBU) mendapati kematian lebih 100 penunjuk perasaan itu akibat
ditembak oleh polis anti-rusuhan Berkut, namun menegaskan Yanukovich
terbabit dalam rancangan operasi tersebut.
“Bagaimanapun sebagai seorang ahli politik, saya boleh menyatakan
bahawa bekas presiden itu secara individu bertanggungjawab, dan kami
mahu membawanya untuk diadili. Kami tidak dapat menerima Rusia
melindungi seorang lelaki yang di bawah siasatan atas dakwaan membunuh
beramai-ramai dan jenayah kemanusiaan," katanya.
SBU mendakwa wakil pasukan keselamatan FSB Rusia turut berada di ibu
pejabat SBU di Kiev di bawah pentadbiran kerajaan terdahulu semasa
bantahan yang berlarutan selama tiga bulan itu dengan Rusia turut
membawa masuk bahan letupan ke Ukraine.
Dalam perkembangan berasingan, agensi keselamatan utama Rusia,
Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan (FSB) menahan 25 rakyat Ukraine
kerana dipercayai merancang melakukan sabotaj di Rusia.
Menerusi kenyataannya, FSB berkata, kesemua suspek merancang
melakukan sabotaj dan serangan keganasan di tujuh daerah Rusia pada
bulan lalu.
Bagaimanapun, FSB tidak menyatakan bilakah tangkapan itu dibuat.
Sementara itu, Crimea semalam menolak permintaan suku kaum Tatar
untuk mewujudkan wilayah autonomi untuk etnik minoriti itu dengan
menyifatkan tindakan berkenaan bertentangan dengan pengambilalihan
semenanjung Laut Hitam tersebut oleh Rusia.
Rusia dalam pada itu memfailkan bantahan kepada Duta Jerman di negara
itu selepas seorang menteri Jerman dilaporkan menyamakan tindakan Rusia
mengambilalih Crimea sama seperti tindakan Hitler mengambil alih
Czechoslovakia pada 1938.- REUTERS/AFP/AP

Bekas Presiden Ukraine didakwa bunuh penunjuk perasaan
Posted by Reformis
Posted on 22:05
with No comments
0 comments:
Post a Comment